PTPM USM RAIH PINGAT DAN ANUGERAH KHAS DALAM SIGG2019

2 berita SIGG all

PULAU PINANG, 13 November 2019 – Dua inovasi ciptaan penyelidik Pusat Teknologi Pengajaran dan Multimedia (PTPM), Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya meraih dua pingat perak dan satu anugerah khas dalam Sintok International Games and Gamification (SIGG2019) yang berlangsung di Universiti Utara Malaysia (UUM), Kedah baru-baru ini.
Pingat perak pertama dimenangi menerusi inovasi berkaitan permainan interaktif atas talian yang dikenali sebagai ‘EJA BETUL: Permainan Interaktif’. Inovasi ini mendapat kemenangan berganda apabila turut terpilih menerima Anugerah Khas dalam pertandingan yang disertai oleh lebih 150 penyertaan dari dalam dan luar negara itu. Satu lagi pingat perak diraih melalui inovasi ‘Physical Cooking System (PhysiCook)’, iaitu sistem pembelajaran permainan digital dalam memasak yang menggabungkan objek multimedia digital dan objek fizikal.

Ketua Penyelidik inovasi ‘EJA BETUL: Permainan Interaktif,’ Profesor Madya Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya berkata, dalam kepesatan ledakan teknologi digital hari ini, proses pengajaran dan pembelajaran tidak dapat dipisahkan dengan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi termasuk permainan digital dan mudah alih. “Dengan merekabentuk kandungan yang interaktif, menarik dan kesan bunyi yang sesuai, permainan digital berupaya mengembangkan minat pelajar dalam pembelajaran kendiri dan berpusatkan kepada pelajar. Merekabentuk kandungan atau koswer permainan berkaitan topik bahasa Melayu khususnya panduan ejaan yang betul merupakan satu usaha yang diharap dapat membantu kekeliruan pelajar untuk mengeja perkataan dengan betul,” ujar beliau.
Wan Jaafar yang juga Pengarah PTPM turut berkata, inovasi yang dibangunkan bersama penyelidik lain termasuk Dr. Munira Hashim, Norazam Ariffin, Rozita Ilamdin dan Abd Haris Harun itu turut menjadi inisiatif yang dapat membantu penguasaan ejaan bahasa Melayu pada peringkat awal persekolahan terutama pelajar sekolah rendah tahap 1 dan 2.
“Dengan memuatkan unsur-unsur keseronokan, latih tubi, warna dan visual menarik, ia diharap dapat menyumbang kepada perkembangan pengetahuan pelajar sekolah rendah dari segi penguasaan ejaan bahasa Melayu yang sering disalah eja,” ujar beliau lagi.
Dalam pada itu, inovasi sistem pembelajaran permainan digital dalam memasak, ‘Physical Cooking System (PhysiCook)’ dibangunkan oleh pasukan penyelidik PTPM yang terdiri daripada Dr. Chau Kien Tsong (ketua), Wan Jaafar dan Nur Aadila Ahmad Razi. Menurut Kien Tsong, produk inovasi itu melibatkan penggunaan alat pengesan (sensor) elektronik seperti pembaca RFID, pengesan daya, pengesan ruang, dan slider elektronik untuk mengikat objek fizikal dan digital.

2 berita SIGG nuradila
Mengikut Wan Jaafar juga, ini kali pertama PTPM mengambil bahagian dalam edisi ketiga Sintok International Games and Gamification (SIGG) anjuran Pusat Inovasi dan Pengkomersilan (ICC), UUM, dan ia ternyata merupakan platform yang baik untuk mencungkil idea kreatif dan bakat inovasi anak muda selari dengan pembelajaran abad ke-21 dan era Revolusi Industri Keempat (IR4.0).
“Malah sistem pembelajaran berkonsepkan teknologi permainan dan gamifikasi ini diguna pakai oleh ribuan pendidik termasuk di peringkat sekolah bagi membudayakan kemahiran pengajaran dan pembelajaran abad ke-21,” katanya.
Teks asal dan Foto: PTPM/Suntingan: Marziana Mohamed Alias

PUSAT TEKNOLOGI PENGAJARAN & MULTIMEDIA
Centre for Instructional Technology & Multimedia
Universiti Sains Malaysia
11800 USM, Pulau Pinang
Malaysia

Tel: +604-653 3222 / 3224 / 3226     |    Fax: +604-653 2375

user gray