• Media Gallery
  • Announcements
  • PTPM dan KUSISDARI KONGSI ILMU ICT DAN TEKNOLOGI BERSAMA ORANG ASLI

PTPM dan KUSISDARI KONGSI ILMU ICT DAN TEKNOLOGI BERSAMA ORANG ASLI

DSC 1279

PULAU PINANG, 2 Disember 2018 – Pusat Teknologi Pengajaran dan Multimedia dengan kerjasama Kumpulan Siswa Siswi Darul Ridzuan (Kusisdari), USM telah mengadakan Program Libatsama-Universiti Komuniti bersama masyarakat orang asli di Sekolah Kebangsaan Pos Kuala Mu (Orang Asli), Lasah, Sungai Siput (U), Perak baru-baru ini.

 

Menurut Pengarah Pusat Teknologi Pengajaran dan Multimedia (PTPM), Prof. Madya Dr. Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya, program di Sekolah Kebangsaan Pos Kuala Mu ini merupakan Program Libatsama-Universiti Komuniti siri yang ke-10 dan sebelum ini, pihak PTPM dengan kerjasama Kusisdari telah menjalankan program di beberapa sekolah orang asli iaitu antaranya Sekolah Kebangsaan RPS Banun, Gerik; Sekolah Kebangsaan Pos Perwor, Sungai Siput; Sekolah Kebangsaan Pos Kemar, Sungai Siput, Sekolah Kebangsaan Batu 7, Tapah dam Sekolah Kebangsaan Pos Legap, juga di Sungai Siput.

DSC 1035

"Objektif program ini bertujuan untuk memindahkan ilmu ICT dan teknologi kepada golongan terkebawah (bottom billion) iaitu masyarakat orang asli, selain program ini juga bertujuan mewujudkan jaringan kerjasama dan penglibatsamaan antara universiti dan komuniti masyarakat orang asli di negara ini khususnya di negeri Perak Darul Ridzuan," kata Wan Ahmad Jaafar yang juga merupakan Penasihat Kusisdari.
Tambahnya, program ini dibahagikan kepada 2 bahagian iaitu "Student Knowledge Transfer Programme" (SKTP) yang memberi fokus kepada proses pemindahan teknologi dan pengetahuan kepada masyarakat orang asli dengan memberi pendedahan ICT melalui pengajaran modul seperti Teknik Mengambil Gambar/Imej Produk Kraftangan/Pertanian, penambahbaikan kualiti imej menggunakan aplikasi Picasa, Membuat Akaun Email, Membuka dan merekabentuk Blog atau Facebook dengan tujuan memasarkan hasil/produk kraftangan/pertanian secara atas talian. Kesemua aktiviti ini hanya menggunakan talipon bimbit para peserta. Fasilitator yang terlibat adalah siswa/siswi Kusisdari yang telah dilatih khusus. Mereka memindahkan ilmu dan pengetahuan teknologi ICT secara ‘one-to-one’ bagi mendapatkan kualiti penyampaian yang terbaik.

DSC 1310DSC 1269
"Golongan perserta yang diajar merupakan belia yang telah dipilih oleh tok batin di beberapa perkampungan di situ. Selain itu, bahagian kedua yang bagi peserta yang terdiri dari pelajar-pelajar sekolah, aktiviti sukaneka dan melukis mural turut dijalankan bersama pelajar Sekolah Kebangsaan Pos Kuala Mu," jelas lanjutnya.
Menurut Pengarah projek, Ahmad Heidey Iskandar Bin Mohd Rayhan, Pusat Pengajian Pengurusan, Tahun kedua, program SKTP ini dapat memberi pengalaman berguna kepada siswa dan siswi USM ke arah mewujudkan masyarakat yang memiliki keperibadian yang bersepadu dari segi rohani, akidah dan jasmaniah, bertanggungjawab, bersemangat sukarela dan patriotik untuk menjadi penggerak kepada kemajuan dan kemakmuran negara dan aktiviti ini selari dengan visi Kementerian Pengajian Tinggi.
Program Libatsama-Universiti Komuniti ini disertai oleh seramai 38 orang pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) dan 7 orang staf Pusat Teknologi Pengajaran dan Multimedia (PTPM).
Siri 1 hingga siri 7 Program Libatsama-Universiti Komuniti ini telah mendapat pengiktirafan daripada pihak Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia dan pada 15 Ogos 2015, program ini telah mendapat Anugerah Cemerlang UCTC bagi Teknologi dan ICT yang telah diadakan di Dewan Za'ba, Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia di Putrajaya.

DSC 1344

Teks: Wan Ahmad Jaafar Wan Yahaya            Foto: Kusisdari

  Admin Login